27 September 2010

Kesan Solat

Bismillahirrahmaanirrahim..

Assalamualaikum sahabat2 yang dirahmati Allah..

Semalam, saya mencurahkan sedikit ilmu kepada anak-anak murid tahun 4 di sekolah saya. Ianya berkenaan dengan solat. Kesan Solat. Sungguh kerdil dirasakan diri ini apabila membicarakan tentang solat. Adakah sempurna, adakah diterima, semuanya bermain di fikiran. Namun, tanggungjawab sebagai seorang guru harus dilaksanakan untuk menyampaikan ilmu tersebut kepada murid. Satu amanah!
Solat merupakan salah satu ibadah wajib yang perlu dilaksanakan oleh setiap muslim yang cukup syarat wajibnya. Solat juga ibadah yang diterima secara terus oleh Nabi Muhammad s.a.w daripada Allah s.w.t semasa peristiwa Isra' dan Mikraj. Melalui peristiwa tersebut, dapat dilihat betapa besarnya kepentingan ibadah solat kepada individu muslim. Kita wajib melaksanakannya.
Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim ( di sini saya sertakan maksudnya sahaja )tentang kesan solat yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda yang bermaksud :
" Apa pandangan kamu semua sekiranya sebuah sungai di hadapan pintu rumah salah seorang dari kamu, dia mandi di situ lima kali setiap hari, adakah kotorannya akan kekal? Para sahabat menjawab : Kotorannya tidak akan kekal walau sedikit. Sabda Rasulullah s.a.w. : Begitulah perumpamaan solat lima waktu. Allah s.w.t menghapuskan dosa dengannya."
Huraian hadith :
1. Solat ialah salah satu rukun Islam yang amat penting dan ia merupakan penentu keimanan dan petanda ketaatan kepada Allah. Ia bukanlah satu perkara remehmalah ia pernah digambarkan sebagai pemisah antara keimanan dan kekufuran.
2. Solat juga merupakan satu perintah yang dapat membina hubungan di antara seorang hamba dengan Allah s.w.t yang merupakan penciptanya dan pemilik dirinya. Tunduk kepadaNya bukanlah menandakan kelemahan, tetapi ia merupakan satu kekuatan yang mengangkat diri seseorang itu daripada tunduk kepada makhluk.
3. Di dalam hadith tersebut, Rasulullah memberikan satu lagi makna tambahan yang indah kepada solat lima waktu iaitu pengampunan dosa. Seorang hamba yang mentaati Tuhannya bukan sekadar diberikan kedudukan yang tinggi di sisi Allah malah Allah menjanjikan pula pengampunan kepada dosa-dosanya yang telah lalu.
4. Para ulama' hadith sependapat dengan menggabungkan hadith tersebut dengan hadith2 yang lain bahawa pengampunan dosa tersebut ialah pengampunan kepada dosa2 kecil dan tidak melibatkan dosa2 besar.

Antara kesan solat yang lain ialah :
1. Menjadikan seseorang lebih berdisiplin.
2. Dikasihi dan diredhai oleh Allah.
3. Dapat membina jati diri yang baik serta akhlak yang mulia.
4. Dihormati rakan dan dipandang mulia oleh masyarakat.
5. Menerbitkan rasa insaf dan bersyukur kepada Allah s.w.t.
6. Peka kepada kepentingan masa.
7. Dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.

( Sumber : al-ahkam.net & Buku teks Pend. Islam Tahun 4 )